Home

Ahad, 14 April 2013

Sarawak | Khazanah Hutan dan Tanah Pusaka Teraniaya



Penyelewengan penerokaan hutan Sarawak sangat serius

Hazayani Zakaria, 25 Mac 2013


(Zulkifli [tengah] dan rakan-rakan menceritakan masalah alam sekitar di Sarawak yang semakin terdedah)

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud berhubung pendedahan Video Global Witness mengenai penerokaan hutan di negeri itu.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia, Zulkefly Mohamad Omar berkata, Taib dan juga kakitangan kerajaan negeri yang terlibat dalam dakwaan urus tadbir itu harus mengambil cuti buat sementara waktu agar siasatan dapat dijalankan oleh SPRM.

"Sudah seminggu pendedahan ini dibuat tapi belum ada siasatan dijalankan.

"Sebagai sebuah kerajaan yang dimomokkan adil dan telus dalam setiap urus tadbir mereka, seharusnya tindakan ini diambil," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini. Video selama 16 minit 24 saat itu meliputi empat hasil siasatan melalui penyiasat persendirian yang menyamar sebagai pelabur untuk penanaman kelapa sawit di Sarawak antaranya ialah habuan kepada Taib dari kelulusan Lesen Penanaman / Pertanian.

Global Witness yang berpengkalan di London itu juga mendedahkan terdapat korupsi dari Perjanjian Tanah di mana sebahagian ahli keluarga Taib itu diberikan tanah atas arahan Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar yang dipimpin oleh Taib sendiri dan mendapat keuntungan berjuta-juta ringgit darinya.

Selain itu, sebuah syarikat perkongsian di antara sepupu Taib, seorang Ahli Parlimen dari parti Taib dan kakak ipar Najib ditawarkan untuk jualan melalui transaksi tidak sah di Singapura yang direka untuk mengelak cukai dari Kerajaan Malaysia.

Korupsi juga berlaku dalam perkhidmatan yang ditawarkan peguam tempatan untuk membantu transaksi haram dan bercanggah dengan undang-undang Malaysia dan Singapura.

"Jika proses kelulusan lesen balak boleh dimanipulasi untuk kepentingan jahat pihak yang berkepentingan sehingga akhirnya mendorong kemusnahan hutan malah sistem ekologi yang menjadi sumber makanan dan minuman kepada haiwan liar serta Orang Asal di Sarawak," katanya lagi.

Zulkefly juga berkata, jika pendedahan itu tidak benar, Taib harus membuat penafian atau menyaman Global Witness.

"Kalau Global Witness salah buat laporan, Taib seharusnya membuat penafian atau mengambil tindakan undang-undang.

"Sekarang ini beliau mahupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab apa-apa," katanya.

Justeru beliau berkata, sekiranya SPRM tidak mengambil apa-apa tindakan, pihaknya sendiri akan membuat aduan ke institusi tersebut.

"Sebelum ini dah ada beberapa kenyataan daripada pemimpin BN mengenai isu ini tapi SPRM tak siasat pun.

"Jadi kalau dalam masa seminggu ini tiada apa-apa tindakan juga, kami sendiri akan ke pejabat SPRM," katanya sambil menambah akan melakukan siri jelajah berhubung isu ini. - Harakahdaily.net


Video Pendedahan Global Witness





Jaringan maklumat:

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...