Home

Jumaat, 26 Oktober 2012

Selamat Hari Raya Aidil Adha




Para Jumaah Haji di Arafah | 25 Okt 2012
Gambar oleh (Reuters/Amr Abdallah Dalsh)

"...Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim lain.

Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun lebih mulia daripada yang lain kecuali dalam takwa dan beramal salih. ..."

.


Jaringan maklumat:

Rabu, 24 Oktober 2012

Keadilan Sosial | RM207 bilion wang pampasan lesap?

Bayangkan sejumlah wang berbillion, bukan million tetapi "billion". Katakanlah jumlah itu RM207 billion. Berapa banyak agaknya jumlah itu kepada rakyat biasa? Kepada mereka mungkin jumlah yang pernah banyak dialami adalah hutang kereta RM100,000 ke atas.

Tetapi yang kita bicara adalah jumlah RM207 billion !

Bajet atau belanjawan Kerajaan Malaysia tahun 2013, tahun depan, berjumlah RM215.0 billion dan hampir sama jumlah RM207 billion tadi.

Negara, saperti rakyat biasa juga berhutang. Setakat tahun 2011 hutang negara adalah RM421 billion atau 56% Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) tahun 2011. Wang tadi cukup membiayai Kerajaan Malaysia dan juga boleh digunakan untuk membayar setengah hutang Negara.

Tetapi wang berjumlah RM207 billion itu telah hilang!

Ianya adalah wang pampasan Kerajaan Jepun kepada rakyat Malaysia dalam Perang Dunia Kedua kerana sebilangan rakyat Malaysia telah dipaksa, tanpa upah gaji, bekerja membuat landasan keretapi di Burma ke Thailand.

Jumlah RM207 billiion dipercayai TELAH diterima Kerajaan Malaysia. Ke mana perginya?

Ikuti persolan yang ditimbulkan di Parlimen dalam petikan berikut:

Buruh paksa: RM207 bilion wang pampasan lesap?

KUALA LUMPUR 22 Okt 2012 : Kerajaan BN dituntut supaya menjelaskan di manakah wang bernilai RM207 bilion yang telah diberikan oleh kerajaan Jepun sebagai pampasan kepada 30,000 pekerja buruh paksa pembinaan landasan keretapi dari tahun 1942 hingga 1946.

Ini kerana, walaupun telah diterima kira-kira 10 tahun lalu namun sehingga kini ia tidak diserahkan kepada mangsa atau waris mereka.

Anggota Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin memberitahu Dewan Rakyat, beliau mempunyai dokumen yang mengesahkan kemasukan wang itu.

Yang mengejutkan, kata beliau, pada 13 Disember 2004, Bank Negara mengeluarkan banker's cek bernilai RM107 bilion dan RM100 bilion lagi diperuntukkan dalam bentuk syer Maybank yang didaftarkan pada 13 Disember 2004.

Ini bermakna, wang RM207 bilion yang sepatutnya diberikan kepada 30,000 mangsa buruh paksa ini telah diterima kerajaan sebelum tarikh 13 Disember 2004 lagi, iaitu kira-kira 10 tahun lalu.

Namun sehingga kini, wang itu tidak diberikan kepada mangsa atau waris mereka.

Ekoran itu, kata Mohamad Nizar, bekas Menteri Besar Perak itu, Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma 1942 - 1946 telah menghantar surat kepada kerajaan Malaysia bagi menuntut wang itu.

Surat itu telah pun dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 27 Julai 2011 menuntut pembayaran wang itu.

Sejumlah 30,000 rakyat Malaysia yang terlibat dalam pembinaan landasan itu. Sejumlah 60% daripada mereka itu adalah orang Melayu, 20% orang India, dan 15% orang Cina. Selebihnya 5% itu adalah kaum lain”.

Menurut Nizar, pejabat Perdana Menteri apabila menerima surat itu telah pun menyerahkan satu salinan untuk dipanjangkan kepada Kementerian Sumber Manusia ada 9 Ogos 2011.

Beliau juga difahamkan, semua pihak dalam kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara telah bersetuju agar duit itu diserahkan kepada 30,000 mangsa ini.

"Saya mahu menyatakan di sini kalau sekiranya perkara itu telah pun dibentangkan dan diluluskan oleh Kabinet, maka kenapa ianya harus disimpan oleh Treasury ataupun Bendahari Kewangan kita sebegitu lama?" soal Nizar dalam ucapannya itu. Menurutnya, mereka yang terlibat ada yang telah meninggal dunia, ada yang warisnya masih ada. "Saya boleh menyatakan bahawa ayah kepada Tan Sri Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Ketua Hakim Malaya hari ini adalah salah seorang daripada mereka yang dikerahkan oleh Kerajaan Jepun ketika itu untuk membina landasan kereta api dan dia masih hidup lagi. "Dia masih ada di Ipoh dan boleh menceritakan bagaimana susahnya 30,000 rakyat Malaysia ketika itu," beritahu Nizar kepada Dewan Rakyat.

Nizar bertanya, "kalau sekiranya wang itu telah diberikan sebagaimana yang dinyatakan, maka kenapakah kerajaan masih tidak memberikan pampasan itu kepada rakyat Malaysia yang telah dipaksa untuk melaksanakan kerja-kerja itu?"

Bagi beliau, ini merupakan satu amanah yang sewajarnya rakyat Malaysia sedar kerana ini satu hak kepada rakyat yang dinafikan oleh kementerian-kementerian tertentu iaitu Kementerian Kewangan barangkali, Bank Negara dan juga Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri yang telah pun mengarahkan supaya kertas Kabinet diluluskan.

"Jadi saya hendak bertanya sama ada rayuan daripada persatuan itu. Mereka merayu supaya pampasan diberikan kepada mereka, kenapa ianya dinafikan?" soal beliau tegas.

Menurut beliau juga, kerajaan Filipina, Indonesia dan juga Vietnam juga menerima wang yang sama dan telah diserahkan kepada rakyatnya yang terlibat. - Harakahdaily.net


Jaringan maklumat:

Ahad, 21 Oktober 2012

Keadilan Sosial | dengan sedikit kreativiti

Petikan berikut menegaskan bagaimana keadilan boleh masih ditegakkan dengan sedikit kreativiti dan yang penting lagi pengharungan, kesedaran dan kekaguman kepada nilai-nilai murni, bila keadilan dapat dihalusi dengan kebijaksanaan dan peri kemanusiaan

Kisah Hakim, Nenek dan Ubikayu

TUESDAY, MAY 8, 2012

SANGAT mengharukan, seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah Indonesia berasa sebak dengan penerangan pesalah seorang nenek tua yang mengaku salah mencuri ubi kayu.

Di ruang mahkamah pengadilan, seorang hakim duduk termenung menyemak pertuduhan kepada seorang nenek yang dituduh mencuri ubi kayu. Nenek itu merayu bahawa hidupnya miskin, anak lelakinya sakit, dan cucunya kelaparan. Namun pengurus ladang tuan punya ladang ubi tersebut tetap dengan tuntutannya supaya menjadi iktibar kepada orang lain.

Hakim menghela nafas dan berkata, “Maafkan saya, bu”, katanya sambil memandang nenek itu.

”Saya tidak dapat membuat pengecualian undang-undang, undang-undang tetap undang-undang, jadi anda harus dihukum. Saya mendenda anda Rp 1 juta (lebih kurang RM350) dan jika anda tidak mampu bayar maka anda harus masuk penjara 2.5 tahun, seperti tuntutan undang-undang”.

Nenek itu tertunduk lesu. Namun tiba-tiba hakim menbuka topi hakimnya, membuka dompetnya kemudian mengambil & memasukkan wang Rp 1 juta ke topinya serta berkata kepada hadirin yang berada di ruang mahkamah.

‘Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada setiap orang yang hadir di ruang mahkamah ini, sebesar Rp 50 ribu (lebih kurang RM17), kerana menetap di bandar ini, dan membiarkan seseorang kelaparan sehingga terpaksa mencuri untuk memberi makan cucunya.

“Saudara pendaftar, tolong kumpulkan denda dalam topi saya ini lalu berikan semuanya kepada yang tertuduh.”

Sebelum tukul diketuk nenek itu telah mendapatkan sumbangan wang sebanyak Rp 3.5 juta dan sebahagian telah dibayar kepada mahkamah untuk membayar dendanya, setelah itu dia pulang dengan wajah gembira dan terharu dengan membawa baki wang termasuk wang Rp 50 ribu yang dibayar oleh pengurus ladang yang mendakwanya. "


Jaringan maklumat:

Jumaat, 19 Oktober 2012

LAPURAN AUDIT NEGARA 2011 | Pengurusan Kerajaan & Kewangan Malaysia makin merosot

Audit 2011: Kerajaan BN terus seleweng, membazir

Laporan Audit 2011 sekali lagi mendedahkan berlakunya penyalahgunaan kuasa,penyelewengan dan pembaziran yang berterusan berlaku di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional. Saban tahun laporan audit dikeluarkan dengan beberapa teguran dan cadangan penambahbaikan di dalam tadbir urus kewangan, namun ianya terus berlaku seolah-olah ia tidak diambil berat oleh kerajaan. Ini menunjukkan sikap sebenar kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh untuk melakukan perubahan dan penbambahbaikan.

Apa yang dibimbangi laporan audit yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara hanya sekadar untuk memenuhi kewajipan sebagai sebuah agensi kerajaan yang dipertanggungjawab mengaudit perbelanjaan kerajaan semata-mata dan hanya untuk melengkapkan Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 yang menghendaki Ketua Audit Negara mengaudit penyata kewangan, pengurusan kewangan, aktiviti Kementerian/Jabatan serta pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan dan mengemukakan Laporan mengenainya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan supaya Laporan itu dibentangkan di Parlimen.

Laporan audit dijalankan melalui 4 jenis pengauditan, antaranya :- Pengauditan Penyata Kewangan - untuk memberi pendapat sama ada Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berkenaan menggambarkan kedudukan yang benar dan saksama serta rekod perakaunan mengenainya telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.

Pengauditan Pematuhan - untuk menilai sama ada pengurusan kewangan di Kementerian/Jabatan Persekutuan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan.

Pengauditan Prestasi - untuk menilai sama ada sesuatu aktiviti Kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan cekap, berhemat dan mencapai objektif/matlamat yang ditetapkan.

Pengauditan Pengurusan Syarikat Kerajaan - untuk menilai sama ada pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan telah dilaksanakan dengan teratur.

Persoalannya, adakah kerajaan dan Jabatan Audit Negara hanya berselindung di sebalik kaedah pengauditan dan menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka telah menjalankan pengauditan secara professional dengan menggunakan kaedah yang betul tetapi dalam masa yang sama, ada perkara-perkara yang menimbulkan banyak keraguan terutama projek-projek yang tidak dinyatakan di dalam laporan audit tersebut.

Amat wajar rakyat meneliti beberapa intisari kepada laporan audit 2011 yang jelas menunjukkan berlakunya beberapa perkara yang membimbangkan tentang gejala penyalahgunaan kuasa,penyelewengan dan pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional. Apa yang pasti disebalik perkara tersebut akan menguntungkan sesetengah pihak yang tertentu dan membebankan negara dengan perbelanjaan yang tidak sepatutnya berlaku.

Intisari laporan yang boleh diteliti melalui beberapa Kementerian dan agensinya,antaranya :

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN

Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Ipoh Ke Padang Besar Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pelaksanaan projek adalah kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaannya. Antara kelemahan tersebut ialah:

i. dua lanjutan masa selama 669 hari telah meningkatkan kos keseluruhan projek dengan kenaikan yuran perunding;

ii. pihak Audit tidak dapat menentukan sama ada bayaran yuran khidmat nasihat kewangan berjumlah RM1.06 juta kepada CIMB Investment Bank Bhd. dan Maybank Investment Bhd. adalah pada kadar yang kompetitif kerana Kementerian Pengangkutan (Kementerian) tidak mengeluarkan tawaran kepada bank-bank lain;

iii. kelewatan dalam pengambilan tanah di antara 82 hingga 1,227 hari;

iv. pelantikan kontraktor tidak secara pembidaan kompetitif;

v. syarat kontrak yang tidak menjamin kepentingan Kerajaan; dan

vi. kerja pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti.

KEMENTERIAN PELANCONGAN

Pengurusan Program Penyediaan/Peningkatan Kemudahan Pelancongan Objektif program penyediaan/peningkatan kemudahan pelancongan adalah untuk menyedia dan menambahkan lagi kemudahan asas/infrastruktur pelancongan serta membaik pulih dan menaik taraf kemudahan pelancongan. Kementerian Pelancongan Malaysia (Kementerian) telah diperuntukkan sejumlah RM795.15 juta dibawah RMKe-9 dan PRE. Jumlah peruntukan ini adalah untuk melaksanakan 846 projek infrastruktur dan penyenggaraan, di mana ia meliputi sejumlah RM548.81 juta untuk 210 projek pembinaan infrastruktur dan sejumlah RM246.33 juta untuk 636 projek penyenggaraan. Setakat bulan Disember 2011 sejumlah RM772.41 juta (97.1%) telah dibelanjakan.

Pada keseluruhannya pengauditan yang dijalankan mendapati bilangan projek yang dilaksanakan adalah memuaskan di mana sebanyak 742 (87.7%) daripada 846 projek telah disiapkan. Bagaimanapun, daripada sampel projek yang diaudit terdapat kelemahan seperti berikut: i.bayaran telah dibuat untuk kerja pembinaan/bekalan yang tidak dilaksanakan/dibekalkan;

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Perolehan Peralatan Mata Pelajaran Aliran Vokasional (MPAV) Di Sekolah Menengah Teknik/Vokasional

Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM76.83 juta di bawah RMKe-9 bagi tujuan perolehan peralatan Mata Pelajaran Aliran Vokasional (MPAV). Perolehan 1,293 item peralatan berjumlah RM63.02 juta telah diuruskan secara tender terbuka yang melibatkan 14 syarikat. Baki peruntukan berjumlah RM13.81 juta pula disalurkan kepada 85 Sekolah Menengah Teknik (SMT)/Sekolah Menengah Vokasional (SMV) untuk tujuan perolehan secara sebut harga atau/dan pembelian terus. Pengauditan yang dijalankan mendapati pada umumnya perolehan peralatan MPAV adalah memuaskan. Bagaimanapun, masih terdapat beberapa kelemahan seperti berikut:

i. satu syarikat masih gagal membekalkan 2 jenis peralatan bernilai RM1.50 juta;

ii. sebanyak 139 unit peralatan bernilai RM2.21 juta tidak mengikut spesifikasi;

iii. sebanyak 30 unit peralatan bernilai RM337,077 telah dibayar sebelum diuji lari;

iv. tuntutan yang meragukan untuk bekalan peralatan MPAV bernilai RM1 juta;

v. sebanyak 2,447 unit peralatan bernilai RM7.39 juta masih belum/tidak digunakan sehingga tarikh lawatan Audit; dan

vi. pemantauan secara fizikal yang dilaksanakan sama ada di peringkat Kementerian atau negeri tidak disokong dengan laporan mengenainya.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Projek Pembinaan Hospital Kluang, Johor

Kementerian Kesihatan Malaysia (Kementerian) telah menandatangani perjanjian projek pembinaan Hospital Kluang, Johor berkapasiti 256 unit katil dengan Kluang Health Care Sdn. Bhd. (Kluang HC) bagi menggantikan hospital sedia ada. Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina. Ketua Setiausaha Kementerian telah bertindak sebagai Pengarah Projek manakala Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan dilantik sebagai Wakil Pengarah Projek. Projek ini telah siap dibina pada 12 Oktober 2011 dan mula beroperasi pada 30 Disember 2011. Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pelaksanaan projek pembinaan Hospital Kluang adalah kurang memuaskan. Terdapat beberapa kelemahan yang ditemui seperti berikut:

i. pelantikan perunding yang tidak teratur sehingga mengambil masa 66 bulan;

ii. yuran profesional perunding terlebih dinyatakan sejumlah RM0.74 juta dan RM0.62 juta telah dibayar;

iii. bayaran perunding sejumlah RM0.75 juta dibayar sebelum kontrak ditandatangani;

iv. asas kelulusan bagi Perakuan Kelambatan Dan Lanjutan Masa (EOT) 2 dan EOT 3 adalah diragui;

v. kerja pembinaan yang berkualiti rendah;

vi. perolehan 385 peralatan import bernilai RM11.64 juta telah dibuat tanpa kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri walaupun nilai perolehan yang diimport melebihi RM50,000; dan

vii. sebanyak 158 unit kuarters yang siap dibina masih belum diduduki oleh kakitangan hospital.

Pihak Audit mengesyorkan Kementerian mempertimbangkan tindakan seperti berikut:

i. mempertimbangkan tindakan terhadap pegawai yang memperakukan dan meluluskan bayaran kepada perunding sebelum perjanjian ditandatangani;

ii. memantau kerja kontraktor dan memastikan kerja yang tidak mengikut spesifikasi, tidak sesuai dan belum dilaksanakan dapat dibuat dengan segera agar hospital baru dapat beroperasi secara maksimum. Tindakan juga perlu diambil terhadap kontraktor sekiranya gagal melaksanakan kerja tersebut; dan

iii. tawaran perlu dibuka kepada agensi Kerajaan yang lain sekiranya pegawai di hospital tidak berminat mendiami kuarters tersebut bagi mengelakkan pembaziran.

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

Pengurusan Pembinaan Dan Perolehan Peralatan Pembelajaran Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC)

Setakat tahun 2011, Kementerian Sumber Manusia (Kementerian) telah membina 8 Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di seluruh Malaysia termasuk 4 yang baru siap dibina pada tahun 2009 hingga 2011.

Bagi perolehan peralatan pembelajaran, di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) sejumlah RM228 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan dan perolehan dibuat secara rundingan terus.

Pengauditan yang dijalankan mendapati secara amnya prestasi pembinaan 4 ADTEC iaitu Taiping,Kemaman, Bintulu dan Jerantut adalah memuaskan. Bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan yang boleh menjejaskan objektif pembinaannya seperti berikut:

i. empat ADTEC tidak dapat disiapkan dalam tempoh kontrak asal dan telah diluluskan antara satu hingga 6 lanjutan masa melibatkan tempoh antara 90 hingga 706 hari. ADTEC Jerantut mengalami kelewatan yang paling lama iaitu sehingga 706 hari (23 bulan);

ii. prestasi perolehan peralatan pembelajaran adalah kurang memuaskan kerana kelewatan melaksanakan proses rundingan harga mengakibatkan peralatan pembelajaran tidak dapat dibekalkan sebaik sahaja bangunan disiapkan; dan

iii. terdapat kerja yang tidak mematuhi spesifikasi/tidak berkualiti/tidak sesuai. Namun begitu, Kementerian telah memberikan komitmen untuk memperbaiki kelemahan yang dibangkitkan di mana tindakan segera telah diambil terhadap beberapa kelemahan/ kecacatan kerja yang dilaporkan.

Pihak Audit mengesyorkan pihak terlibat mengambil tindakan seperti berikut:

i. Jabatan Tenaga Manusia (JTM) perlu mempercepatkan proses perolehan peralatan pembelajaran bagi memastikan kemasukan pelajar dapat dibuat mengikut perancangan asal serta keupayaan serta kapasiti bangunan dapat diuji bersama-sama dengan peralatan pembelajaran sebelum berakhirnya Tempoh Tanggungan Kecacatan. Bagaimanapun, JTM juga bertanggungjawab untuk memastikan proses perolehan peralatan pembelajaran dibuat dengan teratur bagi mengelakkan Kerajaan mengalami kerugian;

ii. Kementerian/JKR hendaklah menyenaraihitamkan kontraktor/ konsultan yang gagal melaksanakan kerja pembinaan mengikut syarat kontrak

KEMENTERIAN PERTAHANAN

Kemudahan Rumah Keluarga Anggota Tentera Bagi Angkatan Tentera Malaysia

Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya prestasi pembinaan bagi 12 projek Rumah Keluarga Anggota Tentera (RKAT) yang dibina dalam RMKe-9 dan pengurusan RKAT yang diaudit adalah kurang memuaskan. Antara kelemahan yang ditemui adalah seperti berikut:

i. kontraktor gagal menyiapkan projek dalam tempoh kontrak asal dan diberi lanjutan masa antara 94 hingga 1,240 hari;

ii. projek RKAT yang telah siap mempunyai bilangan kecacatan pembinaan dan kerosakan yang tinggi dan kontraktor gagal membaikinya dalam tempoh tanggungan kecacatan;

iii. peningkatan kos projek RM174.43 juta (15.5%) kepada RM1,297.18 juta berbanding kos kontrak asal berjumlah RM1,122.75 juta;

iv. kelemahan dalam pengurusan kemudahan RKAT yang disediakan seperti RKAT tidak diduduki sepenuhnya, kualiti perabot yang rendah dan tahap kepuasan penghuni terhadap kemudahan RKAT adalah kurang memuaskan; dan

v. pentadbiran kontrak dan pengurusan penyenggaraan yang kurang memuaskan. RAHSIA

Pihak Audit mengesyorkan supaya Kementerian mengambil tindakan seperti berikut:

i. memastikan kontraktor yang dilantik bagi kerja-kerja pembinaan dan penyediaan kemudahan RKAT adalah berkelayakan dan berwibawa;

ii. membuat pemeriksaan dan memastikan kontraktor membaiki kerosakan/kecacatan yang ditemui dengan segera sebelum memulangkan Bon Pelaksanaan atau sebelum Tempoh Tanggungan Kecacatan tamat. Pelarasan harga projek bagi kerja-kerja yang tidak disempurnakan oleh kontraktor hendaklah dibuat;

iii. melaksanakan pengurusan nilai bagi semua projek yang bernilai RM50 juta untuk mendapat value for money dalam perbelanjaannya;

iv. memastikan kesemua unit RKAT sedia ada digunakan secara optimum dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengisi RKAT yang masih kosong dan memperbaiki unit RKAT yang rosak; dan

v. memastikan klausa kontrak dikuatkuasakan bagi menjamin kepentingan Kerajaan serta mengelakkan implikasi kewangan yang akan merugikan Kerajaan.

KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Polis DiRaja Malaysia

Pembinaan Pangkalan Polis Marin Lahad Datu, Sabah

Projek Pembinaan Pangkalan Polis Marin Lahad Datu, Sabah adalah memuaskan di mana ia telah dapat disiapkan dan berjaya mencapai objektif pembinaannya. Namun begitu, terdapat kelemahan seperti berikut:

i. projek mengambil masa selama 2 tahun 5 bulan untuk dimulakan daripada tempoh projek diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 12 Ogos 2002 sehingga ke tarikh sebenar pemilikan tapak;

ii. projek lewat disiapkan dari tarikh asal projek sepatutnya siap di mana 2 lanjutan masa selama 299 hari telah diluluskan (Fasa I) dan 3 lanjutan masa selama 528 hari telah diluluskan (Fasa II);

iii. terdapat reka bentuk/spesifikasi yang tidak sesuai serta terdapat kerja pembinaan yang tidak memuaskan/tidak siap; dan

iv. Kementerian tidak merancang dan menyediakan kontrak perkhidmatan pembersihan bagi kawasan pembinaan setelah projek diserahkan kepada pengguna.

Bagi memperbaiki kelemahan yang dibangkitkan dan juga memastikan perkara yang sama tidak berulang dalam pelaksanaan projek yang lain, pihak Audit mengesyorkan pihak yang terlibat melaksanakan perkara seperti berikut:

i. Kementerian/Kementerian Kewangan perlu mengambil tindakan segera terhadap permasalahan yang wujud di peringkat perancangan dan pelaksanaan projek. Ini bertujuan memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan objektifnya dapat direalisasikan mengikut perancangan. Ia juga bagi memastikan Kontraktor tidak terjejas dengan sebarang keputusan yang tertangguh oleh pihak Kerajaan yang memberi kesan kepada pematuhan Kontraktor terhadap jadual pelaksanaan projek yang ditetapkan;RAHSIA

ii. Kementerian perlu memastikan kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkenaan diperolehi sebelum sesuatu kerja pembinaan ditawarkan;

iii. Kementerian perlu mengambil tindakan terhadap perunding yang gagal mengambil kira keperluan tertentu semasa menyediakan reka bentuk bangunan yang menyebabkan ketidakselesaan dan kesusahan berpanjangan kepada pengguna dengan menyenaraihitamkan perunding berkenaan daripada mengambil bahagian dalam manamana projek pembinaan Kerajaan di masa hadapan;

iv. Kementerian melalui perunding yang dilantik perlu memastikan kerja yang dilaksanakan oleh Kontraktor mematuhi spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan bagi menjamin kualiti pembinaan;

BADAN-BADAN BERKANUN

Pihak Jabatan Audit Negara turut menunjukkan bukti penyalahgunaan kuasa,penyelewangan dan pembaziran melalui penemuan-penemuan audit yang telah dilaporkan di dalam Laporan Maklum Balas Aktiviti Badan Berkanun.

Penemuan audit yang perlu diberi perhatian antaranya :

Suruhanjaya Koperasi Malaysia

Pelantikan Konsultan Progam TUKAR

Semakan Audit mendapati pelantikan konsultan dan pembekal program TUKAR telah diuruskan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia SKM dengan melantik sebuah syarikat secara lantikan terus. Bagaimanapun, tiada surat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk pelantikan ini. Selain itu, SKM tidak mengeluarkan surat tawaran pelantikan konsultan dan pembekal program TUKAR kepada syarikat tersebut. Pelantikan ini hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah SKM pada Mesyuarat Lembaga Pengarah yang diadakan pada 30 Mei 2011.

Syarikat ini telah melaksanakan pengubahsuaian kedai runcit, bekalan peralatan dan P.O.S System kepada 111 koperasi yang terlibat dengan program TUKAR dengan jumlah peruntukan RM5.40 juta. Sehingga bulan Mei 2012, SKM telah membayar balik tuntutan pembekalan sejumlah RM5.41 juta kepada syarikat itu dengan menggunakan peruntukan RMKe-10 berjumlah RM3.05 juta dan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi berjumlah RM2.36 juta.

Pada pendapat Audit, SKM perlu memastikan setiap perolehan bekalan atau perkhidmatan dilakukan hendaklah mengikut tatacara perolehan yang telah ditetapkan. Kelulusan bertulis daripada Kementerian Kewangan perlu diperoleh bagi pengecualian terhadap peraturan yang berkenaan. Ini adalah untuk memastikan semua perolehan mematuhi peraturan serta mengelakkan ketidakpatuhan dalam proses perolehan. SKM memaklumkan permohonan kelulusan khas dan perolehan secara runding terus telah dikemukakan pada 5 Jun 2012.

SKM telah menerima kelulusan khas perolehan secara rundingan terus dari Kementerian Kewangan bagi perkhidmatan/bekalan program pemodenan kedai runcit koperasi untuk pembayaran kepada Felda Trading Sdn. Bhd. pada 2 Julai 2012 bagi tempoh selama 5 tahun mulai tahun 2011 hingga 2015. SKM telah mengeluarkan surat tawaran perlantikan konsultan dan pembekal melalui surat bertarikh 27 Januari 2012.

Amat wajar perkara ini diberi perhatian kerana dilihat ada unsur penyelewangan dan penyalahgunaan kuasa telah berlaku melalui pelantikan Konsultan tersebut. Amalan tatacara yang tidak mengikut prosedur seperti ini tidak harus dibiarkan berterusan kerana ia akan membawa kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa.

Di dalam laporan Maklum Balas tersebut banyak teguran yang telah dibuat oleh pihak audit terhadap Suruhanjaya Koperasi Malaysia SKM terutama melibatkan beberapa perkara lain yang berkaitan tatacara pelantikan konsultan.

Lembaga Getah Malaysia LGM

Penemuan audit banyak berkaitan dengan pembelian peralatan yang kategorikan belum digunakan, tidak digunakan dan tidak digunakan sepenuhnya. Terdapat beberapa kes yang seumpama itu di dalam penemuan audit berkaitan dengan Lembaga Getah Malaysia, antaranya :

Contoh peralatan yang belum digunakan :

Lawatan Audit 19 Disember 2011 mendapati 6 jenis peralatan berjumlah RM5.22 juta masih belum dipasang dan telah disimpan di premis pembekal dan pihak yang dilantik olehnya. Semakan lanjut mendapati tiada surat atau perjanjian yang menyatakan pembekal dan pihak yang dilantik olehnya boleh menyimpan komponen peralatan tersebut bagi pihak LGM.

Contoh peralatan yang tidak digunakan :

Peralatan 13L dan 100L Fermenters telah diterima oleh LGM pada bulan Disember 2008. Lawatan Audit pada bulan November dan Disember 2011 mendapati peralatan ini telah siap dipasang sepenuhnya tetapi tidak digunakan. Tempoh peralatan tidak digunakan selama 36 bulan kerana masih belum ada keperluan bagi tujuan penyelidikan menyebabkan objektif pembelian peralatan tidak tercapai.

Contoh peralatan yang tidak digunakan sepenuhnya:

Lawatan Audit pada bulan November dan Disember 2011 mendapati peralatan berjumlah RM1.71 juta telah dipasang tetapi tidak digunakan sepenuhnya sebagaimana objektif pembelian. Peralatan ini hanya dapat digunakan untuk mengujilari Profile Product dan Surface Product. Perkara ini disebabkan komponen peralatan iaitu Cooling dan Cutter Line belum dibeli untuk menghasilkan produk. Semakan Audit mendapati komponen peralatan ini tidak dimasukkan dalam spesifikasi pembelian Cold Feed Extruder. Mengikut Minit Mesyuarat Ringkasan Projek Pembangunan RMKe-9, peruntukan yang tidak mencukupi menyebabkan pembelian komponen peralatan terpaksa ditangguhkan.

Laporan audit 2011 telah menggunakan beberapa perkataan seperti; “kurang memuaskan”, “kelemahan”, “beberapa kelemahan”, “tidak digunakan”, “belum digunakan” dan “tidak digunakan sepenuhnya”. Penggunaan perkataan tersebut telah mendedahkan wujudnya penyalahgunaan kuasa,penyelewengan dan pembaziran.

Ini adalah sebahagian daripada penyalahgunaan kuasa,penyelewengan dan pembaziran yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional,terdapat banyak lagi penemuan-penemuan yang ditunjukkan di dalam Laporan Audit 2011. Semua penemuan ini jelas menunjukkan salah urus dalam pentadbiran dan perbelanjaan kerajaan dan agensi di bawahnya. Ini jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa,penyelewengan dan pembaziran yang banyak sehingga mencecah berbillion ringgit.

Rakyat mesti berazam untuk menghukum kerajaan dalam PRU 13 nanti, kerajaan yang sanggup berbelanja besar dan membazir demi kepentingan mereka dan kelompok tertentu bukan untuk rakyat. Penyalahgunaan kuasa,penyelewangan dan pembaziran tersebut sekaligus akan meningkatkan kadar hutang negara. Ini akan menyebabkan rakyat terus dibebani dengan hutangh Negara yang tidak berkesudahan.

Disediakan oleh Majlis Penyelidikan, Dewan Ulamak PAS Pusat. 9 Okt 2012


Jaringan maklumat:

Selasa, 16 Oktober 2012

Lapuran Audit Negara 2011 | Makanan LUPUT TARIKH untuk Murid Sekolah Agama



KUALA LUMPUR,16 Okt 2012: Meskipun dibiayai dengan harga berjuta ringgit, Laporan Audit 2011 mendapati makanan mentah yang dibekalkan ke 10 sekolah menengah agama di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang adalah pada tahap kurang memuaskan.

Antara kritikan yang diterima ialah makanan mentah yang dibekalkan tidak berkualiti, tidak mengikut sukatan yang ditetapkan dan lebih teruk lagi tidak berlabel halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah melebihi tarikh luput.

Selain itu, Ketua Audit Negara (KAN) Tan Sri Ambrin Buang turut melaporkan stok bahan makanan utama yang boleh disimpan lama tidak mampu menampung keperluan minimum selama 3 hari manakalan spesifikasi bekalan bahan mentah dan bermasak yang dibekalkan – kualiti ikan yang dibekalkan tidak dapat ditentukan.

Beliau turut mengkritik prestasi kebersihan dapur dan dewan serta pengurusan dan keselamatan dapur yang disifatkan ‘kurang memuaskan’ – antaranya borang pesanan makanan disediakan kurang dari 48 jam dan tiada tarikh pesanan dicatat dalam borang dan pekerja yang tidak dilatih dalam Kursus Pengendalian Makanan.

Kerajaan Negeri Pahang mempunyai 18 buah Sekolah Menengah Agama (SMA) yang terletak hampir di semua daerah dengan asrama dan pengurusan bekalan makanan bermasak adalah di bawah tanggungjawab JAIP.

Kontrak kerajaan negeri kepada JAIP adalah untuk membiayai kontrak bekalan makanan bermasak yang diperbaharui setiap 2 tahun sekali.

Dengan anggaran pelajar seramai 7,990 orang, perbelanjaan nilai kontrak bekalan makanan bermasak meningkat sebanyak RM8.72 juta bagi tempoh 2010 hingga 2011 berbanding 2008 hingga 2009.

“Pada tahun 2009, perbelanjaan bekalan makanan bermasak bagi 18 buah asrama SMA berjumlah RM11.08 juta, tahun 2010 berjumlah RM12.96 juta dan RM12.86 juta pada tahun 2011,” kata KAN dalam laporannya.

Tiada pemantauan langsung

Pemantauan di peringkat JAIP dan SMA turut dikritik sebagai kurang memuaskan oleh KAN kerana gagal menubuhkan Unit Audit Dalam dan Jawatankuasa Pemantau.

Sebagai langkah penambahbaikan, KAN menyarankan agar JAIP perlu menyediakan garis panduan atau tatacara bagi memperkemas dan mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan pembekalan, penyediaan bahan mentah dan bermasak serta menerima pakai Panduan Pelaksanaan Kontrak Bekalan Bermasak Di Sekolah-Sekolah Berasrama mengikut Pekeliling Bahagian Pembangunan Dan Bekalan Kementerian Pendidikan Bil. 2 Tahun 1994.

Selain itu, JAIP perlu memerincikan spesifikasi bahan bekalan yang dibekalkan oleh kontraktor di dalam kontrak yang dimeterai dan mengadakan latihan dan taklimat kepada Penyelia Asrama/Pengelola Makanan SMA berkenaan pengurusan makanan bermasak.

Di samping itu, pihak SMA perlu mengadakan pemantauan secara harian dan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang tidak mematuhi syarat-syarat kontrak.

KAN juga menyarankan agar JAIP bekerjasama dengan agensi penguatkuasa seperti Jabatan Kesihatan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk menjalankan pemeriksaan premis, kesihatan pekerja, peralatan dan perkakasan dewan makan serta kualiti makanan secara berkala terhadap SMA tersebut. - Harakahdaily


Jaringan maklumat:

Sabtu, 13 Oktober 2012

Musa Aman KM Sabah | Kes rasuahnya dibersihkan Kerajaan, untuk sementara waktu



Kerajaan Malaysia masih lagi berdalih walaupun bukti dan keterangan melibatkan badan penyiasat ICAC(HK) dan Switzerland nyata . Kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri hanya menolak tuduhan ke atas KM Sabah Musa Aman dengan mengesahkan wang RM40 juta sumbangan kepada Parti UMN Sabah. Kalau begitu UMNO Sabah patut diheretkan ke Mahkamah kerana semua wang itu adalah sebenarnya sebagian daripada banyak lagi wang hasil pembalakan haram dan lain-lain di Sabah.

Sebuah pertubuhan NGO, Bruno Manser yang mengambil berat tentang salahlaku di Sarawak dan Sabah menerangkan saperti berikut melalui lapuran sarawakreport.org:-

Ya, Kami Telah Bekerjasama Dengan Pihak Hong Kong Berkenaan Kes Musa Aman – Kenyataan Pihak-Pihak Berkuasa Swiss! 23 Apr 2012

Menurut kenyataan dari pejabat Peguam Negara Swiss, Michael Lauber [gambar kanan] yang diterbitkan pada hari ini dalam akhbar kebangsaannya, telah menambahkan dan memperkuatkan lagi bukti kami bahawa Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, telah dibabitkan dalam penyiasatan yang melibatkan wang sogokan kegiatan pembalakan bernilai US$90 juta.

Akhbar mingguan "Sonntagszeitung" yang beribu-pejabat di Zurich, sedang mengikuti laporan kami bahawa pihak berkuasa Hong Kong telah menyiasat jutaan dollar, yang disalurkan dari syarikat-syarikat yang terbabit dengan lesen-lesen pembalakan di Sabah ke dalam akaun bank UBS Zurich di atas nama Musa Aman sendiri. Akhbar "Sonntagszeitung" pada mulanya telah mencabar kesahihan bank UBS Swiss yang dituduh menguruskan segala transaksi menerusi jaringan akaun-akaun bank yang kompleks, yang dikendalikan oleh dua orang rakan Ketua Menteri Sabah itu, iaitu peniaga kayu balak Michael Chia dan peguam Richard Christopher Barnes. Sehingga kini bank berkenaan belum lagi memberikan sebarang komen.

Namun, akhbar berkenaan telah menerima pengesahan ke atas siasatan itu dari agensi penguatkuasa perundangan Swiss, iaitu Pejabat Peguam Negaranya. Para pemberita telah mengemukakan suatu soalan, dengan menyebut secara betertib nama Musa Aman, dan dengan menyentuh kedudukannya dan sejumlah wang bernilai US$90 juta yang mana pihak berkuasa Hong Kong telah dipercayai menjalankan siasatan mereka juga.

Mereka bertanya sama ada pihak-pihak berkuasa Swiss telah didatangi oleh ICAC Hong Kong bagi membantu dengan memberikan maklumat berkenaan kes berkenaan:

Soalan:

“Seorang ahli politik Malaysia, Musa Aman, seorang menteri yang menerajui kerajaan Sabah kini, merupakan orang yang terlibat dalam kes rasuah di Malaysia dan juga di Hong Kong. Pihak anti rasuah Hong Kong telah memfailkan laporan berkenaan. Difahamkan bahawa menerusi wakil-wakilnya, Musa Aman telah menerima sejumlah US$90 juta wang sogokan daripada syarikat-syarikat pembalakan sebagai wang sogokan mereka untuk mendapatkan lesen-lesen pembalakan. Adalah disyaki bahawa wang itu telah disalurkan menerusi suatu jaringan syarikat-syarikat dan didepositkan ke dalam akaun bank UBS di Hong Kong dan Zurich atas namanya. Peguam Richard Christopher Barnes dan peniaga Chia Tien Foh disebutkan sebagai wakil-wakil kepada Musa Aman itu. Kejadian ini berlaku antara tahun-tahun 2006 hingga 2008. Persoalan saya seterusnya: Sudahkah Pejabat Peguam Negara mengetuai siasatan ke atas penyelewengan kewangan yang disyaki itu mahupun kes-kes jenayah yang berkaitan dalam konteks ini?” [Terjemahan soalan-soalan ini telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara Switzerland, oleh akhbar mingguan Swiss yang beribu-pejabat di Zurich, Sonntagszeitung, 20hb April 2012]

Berikut adalah merupakan jawapan Pejabat Peguam Negara Switzerland yang mengesahkan bahawa siasatan ke atas kes yang melibatkan wang sogokan Musa Aman:

Kenyataan:

“Pejabat Peguam Negara (Switzerland) dalam konteks ini telah memberikan kerjasama di segi perundangan. Hasil penguatkuasaan undang-undang telahpun dikemukakan ke Pejabat Persekutuan Kehakiman pada 29hb Mac 2012 untuk dikemukakan kepada pihak-pihak berkuasa Hong Kong yang telah memohonnya. Pejabat Peguam Negara tidak memaklumkan isi kandungan ataupun maklumat lengkap berkaitan bantuan perundangan yang dipohon itu.” [Terjemahan jawapan oleh Jacgueline Buhlmann, jurucakap untuk Pejabat Peguam Negara 20hb April 2012]

Kenyataan mengenai siasatan ini menjadikan suatu kesukaran bagi Musa Aman untuk terus menafikan pembabitannya dengan Michael Chia [gambar- Musa (kiri), Michael Chia (kanan)] dan Richard Christopher Barnes, yang pada awalnya telah didakwanya sebagai sesuatu yang direka-reka.

Sejak kebelakangan ini Musa Aman dan para penyokongnya telah mengatur beberapa strategi penafian, dengan mengemukakan kenyataan-kenyataan yang menuduh Sarawak Report sebagai mereka-reka laporan, mengada-ngadakan bukti-bukti palsu dan menunjukkan-nunjukkan dokumen-dokumen yang telah disunting.

Mereka telah tegas dengan pendirian mereka, walaupun pihak UBS atau ICAC Hong Kong mahupun Malaysia bersedia untuk mengambil langkah-langkah untuk menafikan bahan-bahan yang kami kemukakan, yang sepatutnya diperlakukan sedemikian jika bahan-bahan kami itu sememangnya palsu.

Kini Musa Aman diwajibkan untuk membuat kenyataan selanjutnya untuk menjelaskan kedudukannya berkaitan perkembangan terkini. Adakah dia akan mengatakan bahawa pihak pendakwaraya Switzerland juga berbohong? Atau adakah dia akan mengatakan bahawa Akhbar Kebangsaan Switzerland itu mengada-ngadakan cerita bohong yang dikemukakan oleh pihak pendakwaraya mereka?

Musa Aman akan berdepan kesukaran untuk mengelak, kerana kenyataan yang berasingan yang diberikan kepada pihak Sonntagszeitung oleh Pejabat Kehakiman Swiss juga mengesahkan bahawa ianya membantu dalam pemindahan antarabangsa dokumen-dokumen yang dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara kequoote Hong Kong:

Kenyataan:

“Dapat saya tambahkan di sini bahawa pada 31hb Mac 2012, Pejabat Persekutuan Kehakiman telah memindahkan fail-fail bagi membantu siasatan, sebagaimana diperlukan oleh Pejabat Peguam Negara, kepada pihak berkuasa Hong Kong yang memohonnya.” [Terjemahan kenyataan oleh Folco Galli, Ketua Pejabat Penerangan di Jabatan Kehakiman Swiss, 20hb April 2012]

Dalam responsnya terhadap perkembangan-perkembangan ini pihak NGO Swiss, Bruno Manser Fund kini telah mengeluarkan cabarannya kepada pihak Hong Kong untuk mendedahkan butir-butir lanjut dalam siasatan mereka itu.

Pihak BMF juga telah memohon dari ICAC Hong Kong untuk mengeluarkan laporan yang lengkap pada kenyataan akhbar mereka.

Dan pihak NGO berkenaan juga telah memberikan isyarat bahawa siasatan seterusnya perlu dijalankan ke atas peranan bank UBS Switzerland berkaitan skandal ini:

“Bruno Manser Fund telah meminta pihak-pihak berkuasa Hong Kong untuk memberikan butir-butir hasil siasatan mereka, kerana ini merupakan persoalan peringkat antarabangsa. Bruno Manser Fund mengutuk UBS kerana membenarkan kemasukan wang sogokan ke dalam simpanannya dan mempersoalkan sama ada bank itu ada menguatkuasakan undang-undang Swiss ke atas kegiatan itu” [Kenyataan akhbar BMF, 20hb April 2012]

Dalam pada itu, Sarawak Report merancang untuk meneruskan pelaporan dan pendedahan apa jua dokumen-dokumen berbukti yang didepositkan mengenai kes ini dalam sedikit masa lagi.

Kami akan terus bertanya mengapakah Peguam Negara Malaysia, Abdul Gani Patail dan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak telah bersekongkol menghalang pendakwaan ke atas kes ini menentang rakan politik mereka, iaitu Ketua Menteri Sabah? Pihak-pihak berkuasa Switzerland telahpun memberikan kerjasama dalam penyiasatan ini, maka, bila lagi pihak berkuasa Malaysia berbuat demikian?




Jaringan maklumat:

Isnin, 8 Oktober 2012

SABAH | Muslimin dan Christian berberganding bahu untuk PAS bagi PRU13




(Francis, Ondon dan Melvin menunjukkan kawasan DUN Pitas yang terletak di utara Sabah)

Bakal calon PAS digerakkan pastor Kristian

Zulkifli Sulong | 08 Okt 2012

KOTA KINABALU: Pernahkah anda terfikir, kempen calon PAS bakal digerakkan sepenuhnya oleh orang Kristian dan dia bukan penganut biasa tetapi pastor?

Tetapi inilah yang berlaku di Sabah sekarang. Bakal calon PAS di DUN Pitas, Kudat digerakkan sepenuhnya oleh pendokong Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ia diketuai oleh Otou @ Francis Singoron (gambar kanan), seorang pemimpin agama Kristian bertaraf pastor.

Beliau dibantu oleh dua orang kuatnya yang bekerja siang malam untuk memenangkan bakal calon PAS di situ.

Ondon Mangajil, 58, dan Rakilin Mahuda @ Melvin adalah dua penggerak DHPP Pitas yang membantu Francis. Kedua-dua mereka juga beragama Kristian.

Francis mengaku, beliau menyertai DHPP kerana sikap yang diambil oleh PAS yang tidak mengenepikan orang bukan Islam dan sanggup bekerjasama.

Beliau yakin, bersama dengan PAS, tidak akan berlaku persengketaan antara agama dan dapat berjalan dengan baik.

Di DUN Pitas, 60 peratus penduduknya adalah beragama Islam manakala 40 peratus lagi penduduk Kadazan, Dusun dan Murut beragama Kristian.

Rakilin Mahuda @ Melvin (gambar kanan) sebelum ini tinggal di Kelana Jaya, Selangor. Namun untuk mempastikan PAS menang di Pitas, beliau telah pulang ke Pitas, tempat lahir dan tinggal beliau sebelum ini.

"Saya akan terus bekerja sehingga pilihan raya akan datang bagi memenangkan calon," kata Melvin yang sebelum ini pernah aktif dalam PKR di Kelana Jaya.

Antara isu penting yang dijadikan isu oleh lawan PAS di sini adalah hukum Hudud dan penggerak DHPP inilah yang menerangkan kedudukan sebenarnya.

"Saya sangat senang bekerja dalam PAS kerana di sini saya lihat tolak ansur, keseimbangan dan kebaikan hati pemimpinnya di semua peringkat.

"Rakan-rakan saya dalam PAS dari bawah hingga ke atas melayan saya dengan sama. Bila pilihan raya hampir, sebagai orang Pitas, saya pulang dan bekerja untuk memenangkan PAS," kata Melvin yang sudah 22 tahun tinggal di Selangor.

Ondon (gambar kanan) pula dilihat paling faham tentang pilihan raya antara mereka.

"Pitas ini dari segi saisnya lebih besar dari Perlis. Ini menyusahkan kita," kata Ondon kepada Harakahdaily.

Ondon juga menyifatkan isu tanah adalah isu utama di sini dan bakal menyatukan penduduk Pitas untuk menyokong PAS.

Ondon sangat memuji peranan yang dimainkan oleh Mursyidul Am dan Presiden PAS terutama dalam isu nama Allah sehingga berjaya meredakan salah tanggap orang Kristian.

Calon PAS?

Francis, Melvin dan Ondon bergerak membantu seorang aktivis PAS Pitas iaitu Puan Dausieh Queck yang disebut-sebut bakal menjadi calon Pakatan di sini.

Dausieh (gambar kanan) adalah penggerak Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) yang banyak memperjuangkan isu wanita Islam di Malaysia khasnya di Sabah.

Beliau mula mendekati politik sejak tahun 2006 lagi dengan mengikuti aktiviti PKR di Kota Belud.

Namun pada tahun 2011, Dausieh menyertai PAS dan disebut-sebut bakal menjadi calon PAS di sini.

Beliau mula mengenali Ondon sejak tahun 2006 lagi namun mula mengenali Francis pada tahun 2008 apabila beliau turut membantu kempen PKR di Pitas.

"Saya mengenali Melvin agak lama namun apabila PAS diputuskan bertanding di Pitas, saya meminta dia balik ke sini sejak tahun lalu lagi bagi membantu kami," beritahu Dausieh.

Dengan empat tenaga utama Pitas inilah PAS bergerak hampir setiap masa menemui pengundi sehingga ke peringkat mereka yakin akan menang.

"Saya lihat peluangnya amat besar untuk menang dengan bantuan Allah ekoran dari pergerakan kita dan masyarakat yang ada," beritahu Dausieh.

Ini kerana, jentera yang komited di samping kejayaan mereka membentuk suasana penyatuan dari semua pihak samada di kalangan parti-parti dalam Pakatan dan juga hubungan antara agama.

Namun, halangan utama mereka kini adalah kewangan. Ini kerana, apabila masa ditumpukan sepenuhnya untuk menang, mereka terpaksa tinggalkan pelerjaan untuk mendapat wang hatta untuk kehidupan mereka sendiri.

Cabaran mendekati pengundi dikawasan pendalaman merupakan kekangan utama kerana hanya pendekatan TURUN TERUS KEPADA PENGUNDI sahaja merupakan pendekatan yang terbaik. Maka halangan masuk kependalaman memerlukan kos yang tinggi, tetapi membawa keluar pengundi lebih tinggi lagi kosnya.

Dana PAS Kawasan yang amat terhad juga menjadi kekangan untuk melaksanakan gerak kerja dengan jayanya. Program bantuan kebajikan kepada rakyat amat sukar dilaksanakan.

Keperluan pengangkutan menjadi keutamaam kerana kebanyakkan jalanraya yang ada hanya boleh dilalui pacuan 4 roda sahaja.

Sehubungan itu, kepada mana-mana pihak yang sudi membantu PAS di Pitas ini, anda boleh memberikan sumbangan terus ke akaun Parti Islam Semalaysia kawasan Kudat 1690020154073 Ambank Islamic atau terus ke akaun bendahari MTD Pitas, Muhd Ruslan Azahari 162263156276 Maybank.


Jaringan maklumat:

Khamis, 4 Oktober 2012

ZUNAR | Selepas PRU 13, KUASA RAKYAT




Selepas PRU 13, KUASA RAKYAT !


Oct 4, 2012 by mediarakyat

Zunar melukiskan karikatur itu secara langsung di atas pentas sebelum lukisan itu dibeli. Lukisan karikatur Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque yang diberi nama '"Kuasa Rakyat" pula mendapat bidaan kedua tertinggi apabila dibeli dengan harga RM32,000.


Jaringan maklumat:

Al Qur'an | Cara melupus naskhah lama, koyak dsb




Sebahagian daripada Al-Alaq - Sura ke96 Quran di antara ayat-ayat awal diterima Nabi Muhammad.

Mufti Pahang: Lupus al-Quran dengan membakar

Bernama | 3:45PM Okt 4 2012

Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Othman menasihatkan umat Islam di negara ini agar menggunakan perkhidmatan pusat pelupusan al-Quran yang diiktiraf pihak berkuasa bagi melupuskan kitab suci itu.

Beliau berkata ini bagi memastikan proses pelupusan dilaksana mengikut syariat Islam.

Kaedah terbaik pelupusan ialah menerusi pembakaran dan usaha pelupusan melalui kaedah pembakaran ini sudah dimulakan sejak zaman Saidina Uthman lagi dan diteruskan sehingga kini, katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Beliau sebelum itu melaksanakan proses melupuskan abu al-Quran seberat tiga tan yang dibuang kira-kira tujuh batu nautika dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tajung Gelang dekat Kuantan.

Abu terbabit dibawa ke lokasi pelupusan oleh kapal TLDM KD Pahang dan program itu merupakan yang pertama di negeri ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata proses pelupusan perlu dilakukan sebaik mungkin bagi menjaga kesucian al-Quran.

"Abu al-Quran yang dilupuskan hari ini membabitkan sejumlah teks serta kitab lama yang sudah rosak serta mempunyai kesilapan percetakan dan tidak boleh dibaca yang kemudian dikumpulkan dari seluruh negara oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Beliau berkata proses pembakaran dilakukan oleh pihak Percetakan Soufi di Cheras, Selangor.

Ditanya sama ada perlu diwujudkan satu tapak pembakaran khusus untuk al-Quran di negeri ini, beliau berkata perkara berkenaan boleh dipertimbang.

"Tidak dinafikan proses pelupusan ini memerlukan belanja yang besar namun sekiranya bersesuaian kita akan pertimbangkan untuk mewujudkan satu di negeri ini.

"Namun sekiranya pihak Percetakan Soufi masih mampu menampung keperluan pelupusan, lebih elok serahkan kepada mereka yang mempunyai kepakaran," katanya.

Hadir sama di majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.- Bernama




Jaringan maklumat:

Selasa, 2 Oktober 2012

Bajet 2013 | DS Tok Guru Abdul Hadi Awang (Marang) Bahas




Video streaming by Ustream
DS Tok Guru Abdul Hadi Awang (Marang) Bahas Bajet 2013
October 1, 2012 at 6:11pm • on MP PAS TV



Jaringan maklumat:

PERBANDINGAN BELANJAWAN 2013 | BN lwn PR

Isnin, 1 Oktober 2012

Malaysia | Kaya semakin kaya, miskin semakin miskin



Di Malaysia, kaya semakin kaya, miskin semakin miskin, kata Anwar

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Malaysia kini menghadapi jurang perbezaan dari segi pendapatan dan keuntungan syarikat di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Anwar Ibrahim: Majoriti penduduk tidak dapat manfaat. — Foto fail Beliau yang menyertai sesi debat memberitahu Parlimen bahawa cadangan untuk Bajet 2013 yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) tidak cukup untuk mengurangkan perbezaan antara kaya dan miskin di Malaysia. Ketua pembangkang itu berkata pendapatan isirumah masih lagi rendah dan menunjukkan yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin.

“Ini bermakna pertumbuhan ekonomi dan projek yang diumumkan oleh BN tidak memberi manfaat kepada majoriti penduduk,” kata Anwar.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan, 44.2 peratus penduduk isirumah di Malaysia mendapat kurang dari RM2,500 sebulan, dan hanya mewakili 14 peratus dari kekayaan ekonomi jika dibandingkan dengan 50 peratus yang dipegang oleh 20 peratus penduduk Malaysia yang terkaya.

“Keghairahan mengejar unjuran ekonomi tanpa melihat polisi untuk merapatkan jurang miskin dan kaya dapat dilihat dalam ETP yang dicadangkan perdana menteri,” kata Anwar.

“Analisis dan perbandingan dalam nilai ekonomi yang dibuat dalam projek ETP dan gaji yang diberi kepada pekerja, bahawa pada tahun 2020 gaji pekerja akan mendapat kurang dari keuntungan syarikat.

“Sekarang, ratio gaji dan keuntungan ialah sekitar 28 peratus, di bawah ETP ia akan jatuh kepada 21 peratus,” katanya lagi.

Anwar berkata, pelan ekonomi nasional harus berubah dari hanya mahu mencapai pertumbuhan ekonomi dan ekuiti, tetapi harus memastikan pendapatan RM4,000 sebulan kepada seluruh isirumah dalam penggal pertama pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

Dia juga berkata pertumbuhan ekonomi harus dijana oleh perniagaan kecil dan sederhana dan bukan “seorang dua bos besar”.

Bercakap di Parlimen, ketua pembangkang juga membentangkan Bajet alternatif PR dengan memberi fokus kepada peningkatan pendapatan isirumah. - Oleh Lisa J. Ariffin, TMI




Jaringan maklumat:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...